Ahad, 23 Oktober 2011

Pantun Melayu Melaka

Selamat menonton di youtube.

Pantun Dua Kerat

Terima kasih daun keladi,
Kalau boleh hendak lagi.

Ikan siakap ikan senohong,
Banyak cakap banyak bohong.

Emas, perak, tembaga, suasa,
Malas bergerak tidak merasa.

Pagi petang siang malam,
Hati terang senang faham.

Kumbang jarak, kumbang jagung,
Berani buat berani tanggung.

Tunggu durian Teluk Emas,
Siapa kemudian kena kemas.

Ahad, 9 Oktober 2011

Kongsi Maklumat - Fakta Tentang Pantun

Ada pendapat menyatakan perkataan pantun adalah daripada Bahasa Minagkabau iaitu ' panuntun ' yang bermaksud pembimbing dan penasihat yang berasaskan sastera lisan dalam pengucapan pepatah dan petitih yang popular di kalangan masyarakat tersebut.
     Sehingga ke hari ini, pantun masih lagi digunapakai terutama dalam upacara peminangan dan perkahwinan. Umumnya terdapat dua jenis pantun iaitu pantun berkait dan pantun tidak berkait.
     Setiap pantun mesti mempunyai pembayang dan maksud pantun. Bilangan jenis dalam setiap pantun pula disebut kerat. Terdapat beberapa jenis bilangan dalam pantun iaitu :
*     Pantun 2 kerat
*     Pantun 4 kerat
*     Pantun 6 kerat
*     Pantun 8 kerat
*     Pantun 10 kerat
*     Pantun 12 kerat
*     Pantun 14 kerat
Ingin maklumat lanjut sila layari http://www.dbp.gov.my/

Sabtu, 8 Oktober 2011

Pantun Teka-teki Siri 2

Tanam pokok di tepi telaga,
Agar redup untuk teduhan;
Apa benda cubalah teka,
Kalau guna kita buang, kalau tak guna kita simpan.

Jumaat, 7 Oktober 2011

Ceritera - Penebang Pokok dan Kapak Tumpul

Penebang Pokok dan Kapak Tumpul

      Al-Kisah pada masa zaman dulu ada seorang penebang kayu menerima pelawaan daripada seorang majikan untuk memotong pokok di hutannya. Kerana gaji dan kerja yang dijanjikan sangat lumayan, penebang pokok itu bertekad untuk bekerja sebaik mungkin demi membalas budi dan kepercayaan yang diberikan kepadanya. Ketika mula bekerja majikannya memberikan sebilah kapak dan menunjukkan kawasan kerja yang perlu dilakukan dalam masa yang ditentukan.
      Hari pertama bekerja dia berjaya menumbang lapan batang pokok. Pada petangnya, selepas mendengar hasil kerjanya yang sangat baik, majikan itu memberikan pujian kepadanya. Pada keesokan harinya penebang itu bekerja lebih keras tetapi kali ini dia hanya berjaya menumbangkan tujuh batang pokok. Hari ketiga pula, dia bekerja lebih keras lagi namun hasilnya tetap tidak memuaskan, bahkan mengecewakan. Semakin hari, semakin sedikit pokok yang ditebangnya.
      Dia menghadap majikannya sambil menundukkan kepalanya lalu meminta maaf atas hasil kerja yang kurang memberangsangkan itu. Dia mengeluh kerana tidak mengetahui apa yang terjadi. Majikan itu bertanya kepadanya , " bilakah masanya kamu mengasah kapak kamu? ". Dia pun menjawab, " saya sibuk dan tiada masa untuk mengasahnya ". Lalu, majikannya berkata lagi, " nah, di sinilah masalahnya. Ingat dengan kapak baru yang tajam, kamu berjaya menebang pokok dengan hasil yang luar biasa. Namun, hari-hari berikutnya dengan tenaga yang sama, menggunakan kapak yang sama tetapi tidak diasah, kamu tahu sedndiri. Hasilnya semakin menurun."
     " Sekarang pergilah asah kapakmu dan segera kembali bekerja!" perintah majikannya.

Nilai murni : Jangan sibuk mencari kelemahan dan kesilapan orang lain, tetapi sibuklah mencari kesilapan sendiri dengan bermuhasabah dan bermujahadah.