Jumaat, 9 Disember 2011

Jangan Jemu Berpantun

Halooo semua..
Semua orang sudah tahu bahawa pantun ialah salah satu warisan khazanah budaya Melayu yang sangat bernilai dan masih kekal hingga kini. Malah pada masa ini pantun turut digemari oleh segenap lapisan masyarakat berbilang bangsa dan kaum di negara kita.

Kanak-kanak suka bertanya,
Bertanya pula kepada Cik Nyonya;
Mukmin yang paling sempurna imannya,
Mereka yang baik budi pekertinya.

Subur sungguh buah kelapa,
Daunnya lebat bertali-tali;
Ikutlah nasihat ibu dan bapa,
Bercakap bohong jangan sekali.

Pergi ke kebun menanam halia,
Halia ditanam di tepi perigi;
Orang disegani bukan yang kaya,
Tetapi orang yang berbudi tinggi.

Batang buluh dibelah dua,
Hendak membuat kayu alang;
Barang siapa suka berdusta,
Nescaya kelak dibenci orang.

Sungguh cantik cincin berlian,
Dipakai pula oleh Cik Halim;
Orang yang teguh pendirian,
Tidak gentar pada orang yang zalim.

Khamis, 8 Disember 2011

Pantun Empat Kerat (Muhibah dan Perpaduan)

Salam untuk semua..
Perpaduan itulah petua Malaysia dalam menangani karenah pelbagai kaum.. Walaupun sesekali goyah tetapi ianya ibarat ' Carik-carik bulu ayam '... Di sini kita berkongsi pantun yang berkisar tentang perpaduan..

Petang hari pergi ke pekan,
Pulang membawa sebungkus laksa;
Hidup muhibah perlu diamalkan,
Di negara Malaysia berbilang bangsa.

Pergi ke pekan membeli soya,
Penat berjalan berbatu-batu;
Walaupun berlainan bangsa budaya,
Kerana muhibah hidup bersatu.

Air mengalir dalam terusan,
Mengairi sawah beratus relung;
Bekerjasama segala urusan,
Tanda bersatu bergotong-royong.

Pantun Melayu- Pantun Lama Empat Kerat ( Agama )

Kemuning daunnya lampai,
Tumbuh di pusara paduka tuan;
Di atas dunia kau tak sampai,
Di dalam syurga bernantian.

Halia ini tanam-tanaman,
Di barat saja akan tumbuhnya;
Dunia ini pinjam-pinjaman,
Akhirat juga akan sungguhnya.

Teritip di tepi kota,
Mari dikayuh sampan pengail;
Imam khatib lagikan berdosa,
Bertambah pula kita yang jahil.

Asam kandis asam gelugur,
Ketiga asam si riang-riang;
Menangis mayat di pintu kubur,
Teringat badan tidak sembahyang.

Pantun Melayu Puisi Lama

Assalamua'laikum...
Lamanya tak berblog.... Sibuk dan menyibuk... Selamat bercuti kepada yang bercuti cam kita.. cikgu-cikgi.... Kenduri kahwin pun banyak.. Jadi, pantun banyak digunakan dalam waktu kenduri kahwin ni.. Tetapi adat ni dah mula dilupakan orang... Ntah lah.....
Jadi, kita sambung sikit bab pantun...

Pantun adalah salah satu bentuk puisi lisan Melayu dan cabang kesusteraan Melayu yang paling tua. Pantun dikatakan mula dicipta oleh orang Melayu untuk menyampaikan mesej perasaan hati seperti contoh merasa sedih kerana duduk berdagang di perantauan, mengenangkan untung nasib yang malang dan bersuka ria.

Rangkap-rangkap pantun yang ringkas dan mudah, mungkin sudah berligar-ligar dalam bentuk kias-ibarat, usik-mengusik, uji-menguji di kalangan masyarakat pra-moden, pra-tulisan, sama seperti perumpamaan, bidalan dan rumus-rumus bahasa bersirat yang lain.

Perkembangan bentuk pantun ini tentunya selari pula dengan perkembangan tema dan fungsi pantun, sehingga akhirnya pantun membentuk satu khazanah puisi lisan yang amat besar jumlahnya. Namun tanpa kajian filologi serta bukti-bukti yang kukuh, kita masih tidak dapat berbicara dengan pasti tentang pensejarahannya.